KUALA LUMPUR, 29 Nov 13 – Empat kumpulan Inovasi dari TUDM telah berjaya mendapat tempat dalam senarai pemenang Anugerah Inovasi Kementerian Pertahanan 2013 yang diadakan di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia hari ini.
Kumpulan TUDM yang telah berjaya menggondol hadiah-hadiah di Anugerahan tersebut adalah dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Markas Tentera Udara yang meraih tempat kedua dalam Kategori Pengurusan Maklumat dan Komunikasi. Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh Kolej Tentera Udara (Pejabat Gaji), PUSPEKA dan PU Butterworth (Cawang Tadbir). Mereka memenangi anugerah bagi Kategori Pengurusan Kewangan, Kategori Pengurusan Projek dan Kategori Pengurusan Pelanggan.
Penyampaian anugerah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Datuk Abdul Rahim Bakri. Turut hadir semasa penyampaian anugerah tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Dr. Hj Ismail bin Haji Ahmad, Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM serta Pegawai-pegawai kanan tentera dan awam Kementerian Pertahanan.