SUBANG, 12 Dis 13 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah selaku Kolonel Yang Di-Pertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diiringi Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom telah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-panji Skuadron kepada No 11, 12 dan 15 Skuadron di Pangkalan Udara Subang pada 12 Disember 2013.
Penganugerahan Panji-panji ini telah mencatatkan satu lagi tintah sejarah dalam TUDM yang menyaksikan No 11, No 12 dan No15 Skuadron mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk dianugerahkan panji-panji.
Penganugerahan panji-panji ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi yang diberikan bagi mengenang jasa, sumbangan dan pengorbanan warga TUDM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. Panji-panji ini juga adalah satu simbol kepahlawanan yang sewajarnya disanjung dan dipertahankan oleh semua warga TUDM.
Seramai 26 pegawai dan 363 anggota lain-lain pangkat telah terlibat dalam perbarisan Istiadat Penganugerahan Panji-panji Skuadron berkenaan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azman bin Jantan TUDM. Istiadat perbarisan ini juga turut diserikan dengan terbang lintas pesawat TUDM.
Turut mengiringi KDYMM Sultan Pahang dalam istiadat penganugerahan panji-panji tersebut adalah Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM.